Oleh : Nurul Farhana Bt Faidzul Adzhar
Terlebih
dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah pembimbing
yang telah banyak membantu sepanjang proses menyelesaikan tugasan ini. Tidak
lupa juga kepada dua orang ahli kumpulan saya iaitu Saiful Mujahid Bin Ismail
dan Shakila Bt Adam Rafik Thiagarajah. Tanpa bantuan dan kerjasama yang baik,
daripada mereka, sukar untuk saya menyelesaikan tugasan ini. Pelbagai informasi
dan pengalaman baru telah saya peroleh sepanjang menyelesaikan tugasan ini.
Tidak kurang juga dengan halangan-halangan yang terpaksa saya tempuh bagi
memastikan tugasan ini dapat saya selesaikan pada masa yang ditetapkan dan
paling utama, ia dapat diselesaikan dengan berkualiti. Tugasan ini memberi
peluang baru kepada saya dan rakan-rakan untuk mengaplikasikan ilmu teknologi
maklumat yang telah kami pelajari di dalam proses untuk membuat blog pendidikan
kami. Saya yakin bahawa, penggunaan ICT di peringkat sekolah nanti mampu
menarik minat murid sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Setelah membuat pencarian di
internet mengenai isu-isu keguruan, saya telah terpanggil untuk membuat
analisis berkaitan isu yang saya kira sangat bersesuaian dengan seorang bakal
guru seperti saya yang bertajuk ‘Guru Jana Transformasi Pendidikan’. Saya
berasa bersemangat untuk menganalisis artikel ini kerana berminat dengan tajuk
artikel ini. Berdasarkan analisis yang telah saya laksanakan, saya lebih
memahami dengan tugas sebenar seorang guru. Saya merasakan tanggungjawab
seorang guru sangat besar kerana gurulah yang bertindak sebagai agen penggerak
dan juga agen perubahan ke atas sistem pendidikan Negara. Saya mula menyedari
bahawa untuk menjadi seorang guru yang baik bukan hanya bergantung kepada
peratusan murid yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam
peperiksaan sahaja, bahkan kejayaan seorang guru juga terletak kepada berapa
ramai modal insan berkualiti yang dapat dilahirkan oleh seorang guru itu.
Selain
itu, saya juga menyedari bahawa sebagai pelaksana pendidikan, guru lah yang
berperanan dari peringkat akar umbi untuk memberi kesedaran kepada murid dan
ibu bapa tentang peluang pendidikan kepada mereka. Guru itu sendiri perlulah
bersifat adil dalam menyampaikan ilmu kepada setiap murid tanpa mengira latar
belakang dan kelas sosial murid-murid. Pengajaran baru yang saya peroleh semasa
menyelesaikan tugasan ini ialah, sekiranya seorang guru itu ikhlas dalam
mendidik murid- murid tanpa sebarang perbezaan, nescaya murid-murid yang
dihasilkan mampu menjadi insan yang baik tidak semestinya cemerlang di dalam
aspek akademik tetapi juga mampu menjadi insan yang berguna kepada masyarakat
dan Negara.
Saya telah mendapat azam baru untuk
menjadi guru yang lebih baik pada masa akan datang dan mendidik anak-anak didik
saya dengan penuh kasih dan rasa ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Saya juga akan memberi pendedahan kepada murid-murid saya tentang kepelbagaian
ilmu pengetahuan bagi menyiapkan diri mereka ke arah globalisasi supaya mereka
mempunyai penglaman-pengalaman baru yang tidak tertumpu kepada sesi pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas sahaja.
Transformasi pendidikan ini juga
diharap dapat melahirkan lebih ramai modal insan kelas pertama kerana lebih
banyak peluang pendidikan didedahkan kepada pelajar pada hari ini. Sebagai
seorang guru, saya akan memastikan setiap pelajar saya mendapat peluang
pendidikan yang sama rata dan mereka mampu menjadi insan yang berjaya kelak.
Saya juga akan memberi pendedahan kepada masyarakat di luar tentang
peluang-peluang pendidikan yang disediakan pada hari ini.
No comments:
Post a Comment