Oleh : Nurul Farhana Bt Faidzul Adzhar
Berdasarkan
artikel yang telah saya analisis yang bertajuk Peranan Guru Jana Transformasi
Pendidikan oleh Mohd Fadzly Bin Mohd Izab, dapat saya simpulkan bahawa tugas
seorang guru bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial,
penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen
perubahan. Gurulah yang bertindak sebagai agen perubahan untuk menjana
transformasi pendidikan Negara demi melahirkan modal insan yang mampu berdaya
saing untuk membangunkan Negara selaras dengan misi Wawasan 2020 yang dibawa
oleh mantan Perdana Menteri Keempat iaitu Tun Dr Mahathir Bin Mohamad untuk menjadikan Malaysia
sebuah Negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020.
Tunjang
utama dalam pembangunan sumber manusia, berkait dengan sistem pendidikan
Negara. Bagaimana sebuah Negara akan membangun sekiranya sumber manusia yang
dihasilkan tidak berkualiti dan tidak mempunyai tahap pendidikan yang baik.
Seperti yang dinyatakan di dalam Akta Pendidikan 1996, pendidikan itu sendiri
bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
sendiri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan Negara.
Sehubungan dengan itu, tema hari
guru pada tahun ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara adalah
sangat sesuai bagi pendapat saya kerana tanggungjawab guru itu sendiri yang
bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada transformasi sistem pendidikan
Negara dalam usaha melahirkan generasi yang berintelek dan mempunyai jati diri
yang teguh. Tetapi bagaimanakah peranan guru untuk menjadi penjana kepada trasnformasi
pendidikan Negara? Seperti yang dinyatakan di dalam artikel yang telah disebut
tadi, Kementrerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan
pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian sesi
pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Pendidikan itu sendiri bersifat dinamik
dan sentiasa berubah-ubah dari masa ke semasa mengikut arus peredaran zaman.
Jadi, Kementerian Pelajaran harus merangka dasar-dasar baru bagi memastikan
sistem pendidikan Negara kita tidak ketinggalan jauh ke belakang dari
Negara-negara moden yang lain. Pendemokrasian pendidikan dilihat merupakan
salah satu langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk memantapkan sistem pendidikan di Negara
kita kepada tahap yang lebih baik. Di sinilah peranan guru dilihat sangat penting
bagi merealisasikan pendemokrasian pendidikan ini terutama kepada murid-murid
dan pihak ibu bapa kerana gurulah yang
bertindak sebagai agen penghubung di anatara masyarakat dengan dunia
pendidikan yang sebenar.
Menurut
Ee Ah Meng (1997), pendidikan merupakan satu usaha sistematik yang
disengajakan, yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan
pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya serta usaha
memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia
manakala demokrasi pula diertikan sebagai kesamaan atau keserataan. Berdasarkan
definisi yang diberikan ini, dapat dijelaskan bahawa konsep pendemokrasian
pendidikan ialah suatu proses menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat
secara total atau menyeluruh tanpa mengira aspek sosial sesuatu masyarakat
dalam usaha untuk memperkembangkan potensi individu. Jelaslah di sini bahawa
tidak seharusnya wujud diskriminasi berkaitan pendidikan bagi setiap individu
dan masyarakat kerana peluang pendidikan harus diberikan secara total dan adil
kepada setiap individu. Namun begitu, pendemokrasian pendidikan bukanlah suatu
perkara yang mudah untuk dicapai kerana pada awalnya, sistem pendidikan di
Negara kita sendiri bermula daripada sistem pendidikan penjajah yang diasaskan
mengikut kumpulan-kumpulan suku kaum yang berpecah belah dari segi kumpulan
etnik, bahasa dan kebudayaan.
Menurut
Haris Md Jadi (1990), perkembangan pendidikan di Tanah Melayu pada zaman
penjajahan adalah mengikut corak demografinya sebagaimana yang dicerminkan oleh
kumpulan-kumpulan etnik yang terdapat dalam masyarakat. Sebelum pendidikan
sekular diperkenalkan, pendidikan orang-orang Melayu adalah berorientasikan
keagamaan dan tumpuan adalah pada pengajaran al-Quran. Pada peringkat awal
usaha British untuk memperkenalkan pendidikan telah mendapat tentangan daripada
penduduk tempatan. Di Pulau Pinang misalnya, pada peringkat awal usaha ini
diperkenalkan, telah mendapat tentangan yng hebat daripada masyarakat di Pulau
Pinang kerana mereka beranggapan bahawa sistem pendidikan tersebut bertentangan
dengan agama Islam. Hanya apabila rundingan dibuat, masyarakat setempat
bersetuju apbila persetujuan di antara pihak British dibuat dengan berjanji
untuk mengajar Al-Quran di sekolah.
Selain
itu, matlamat pendidikan penjajah Inggeris adalah selaras dengan proses
pemasyarakatan mereka. Mereka melatih golongan orang Melayu bukan sahaja secara
terasing daripada masyarakat penjajah, tetapi juga daripada masyarakat
kampungnya. Persekolahan penjajah telah memasyarakatkan orang Melayu ke dalam
dua aliran yang berbeza dari segi nilai-nilai dan norma-norma masyarakat Melayu
itu sendiri. Pertama, orang Melayu dari sekolah Inggeris yang mempunyai
nilai-nilai dan bahasa yang asing daripada masyarakat tempatan dan kedua ialah
orang Melayu dari sekolah Melayu yang terasing daripada masyarakatnya sendiri
oleh kerana mereka telah dimasyarakatkan oleh penjajah British dengan nilai
melayu mengikut tafsiran penjajah Inggeris itu sendiri tanpa mengambil kira
nilai masyarakat Melayu yang sebenarnya. Bagi orang-orang bukan Melayu seperti
Cina dan India pula, keadaan mereka lebih runcing dan inilah yang membawa
kepada pemasalahan-pemasalahan politik pada hari ini. Orang bukan Melayu yang
menghadiri sekolah Inggeris telah melalui kurikulum yang tidak berteraskan
Tanah Melayu. Di sekolah, mereka menerima pendidikan yang berbeza dengan
norma-norma dan nilai-nilai masyarakat tempatan menyebabkan mereka tidak
dimasyarkatkan dengan nilai-nilai dan norma-norma masyarakat bukan tempatan.
Selapas
Negara mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan yang baru mula diperkenalkan
bagi mengubah sistem pendidikan yang diperkenalkan pada zaman penjajahan
Inggeris yang tidak memenuhi keperluan dan kehendak Negara itu sepenuhnya.
Secara perlahan-lahan, kerajaan mula menyepadukan sistem pedidikan Negara dan
memberikan hak pendidikan yang sama rata kepada setiap kaum tanpa mengira latar
belakang dan taraf sosial melalui reformasi pendidikan bermula dengan Penyata
Razak (1956) bagi meningkatkan persepaduan antara kaum dan megelakkan
perpecahan di kalangan kaum di Malaysia.
Beberapa perubahan dalam sistem pendidikan telah dilakukakan malalui
Penyata Razak melalui penubuhan Jawatankuasa Pelajaran oleh Menteri Pelajaran
pada waktu itu iaitu Y. B. Dato’ Tun Abdul Razak Hussein dan cadangan-cadangan
yang disyorkan di dalam Penyata Razak ini telah dimaktubkan di dalam Ordinan
Pelajaran 1957. Secara kesleuruhannya,
Penyata Razak lebih tertumpu kepada usaha
untuk memupuk perpaduan di kalangan kaum melalui pendidikan dan memberikan
kesamarataan peluang pendidikan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia. Tujuan Penyata Razak seperti yang dinyatakan ialah bagi mengeratkan
perpaduan kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah
Melayu. Tujuan seterusnya ialah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah. Dengan menetapkan
satu bahasa utama di setiap jenis sekolah di Malaysia, sekaligus dapat memupuk
perpaduan di kalangan setiap kaum melalui satu sistem bahasa yang sama. Selain
itu, tujuan Penyata Razak ialah bagi mengembangkan sistem pendidikan agar
jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Setiap kaum harus diberi
peluang pendidikan yang sama rata kerana setiap kaum berhak mendapat peluang
pendidikan yang adil dan saksama tanpa mengira latar belakang dan status sosial
sesuatu kaum tersebut. Seterusnya ialah menyediakan kemudahan pendidikan yang
mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisiplin, terlatih, liberal dan
progresif. Kemudahan pendidikan yang mencukupi sangat penting bagi melahirkan
sumber manusia yang bertaraf tinggi. Bagaimana sumber manusia yang baik dapat
dilahirkan sekiranya mereka diberi peluang pendidikan hanya dengan menggunakan
kemudahan yang tidak berkualiti.
Selain
itu, tujuan yang dilihat tidak kurang penting di dalam Penyata Razak ini ialah
mewujudkan sistem pendidikan yang lebih cekap dan berkesan. Ini bermaksud,
organisasi yang memegang tampuk kepimpinan itu sendiri seharusnya lebih cekap
di dalam merangka dan melaksanakan pelan-pelan pendidikan di Negara ini bagi
memastikan kualiti sistem pendidikan di Negara kita berada pada tahap yang
berkualiti.
Selepas
itu, Akta Pendidikan 1996 telah digubal sebagai lanjutan pembaharuan dari Akta
Pelajaran 1961 yang dilihat lebih memberi fokus kepada setiap aspek di dalam
usaha untuk memantapkan sistem pendidikan kebangsaan berseuaian dengan hasrat
kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan
pendidikan yang bekualiti. Menurut Ibrahim Saad (1990), Akta Pendidikan ini
merupakan kesinambungan kepada Penyata Razak yang menjadi asas kepada dasar
pendidikan Negara kita di mana skop yang dinyatakan lebih jelas dan terperinci
kepada lebih banyak aspek di dalam pendidikan. Selain itu, Akta Pendidikan yag
digubal ini merupakan satu persediaan awal ke arah menghadapi cabaran
pendidikan pada peringkat akan datang yang lebih mencabar dan memerlukan persaingan
yang kuat bagi memastikan sistem pendidikan di Negara kita setaraf dengan
Negara-negara lain.
Dilihat
Akta Pendidikan ini lebih mementingkan kesamarataan hak dan peluang pendidikan
kepada semua kelompok masyarakat tidak kira perbezaan kaum dan juga etnografi
masyarakat tersebut. Ini terbukti apabila selain menjaga kedudukan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, bahasa ibunda iaitu Bahasa Cina dan
Bahasa India turut tidak ketinggalan apabila pengajaran bahasa ibunda boleh
dijalankan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan apabila jumlah
permintaan ibu bapa melebihi 15 orang jika didapati munasabah dan praktikal.
Jelas di sini bahawa, bukan sahaja bahasa Melayu diberi keutamaan bahkan bahasa
ibunda bagi kaum lain iaitu Bahasa Cina dan Bahasa India turut tidak ditindas.
Bahkan, bahasa bagi kaum asli turut tidak terkecuali apabila ia turut boleh
diajar di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan apabila permintaan
daripada ibu bapa melebihi daripada 15 orang dan apabila ia didapati munasabah
dan praktikal.
Selain
itu, kedudukan peluang pendidikan bagi murid-murid berkeperluan khas dilihat
lebih jelas dan ternyata mereka juga diberi hak untuk menerima peluang
pendidikan yang sama dengan murid-murid yang lain iaitu dengan membolehkan
mengadakan pendidikan khas di sekolah-sekolah khas atau di mana-mana sekolah
rendah atau menengah. Peluang pendidikan bagi murid berkeperluan khas
seharusnya tidak dipandang remeh kerana mereka juga merupakan salah satu sumber
pembangunana Negara.
Pendidikan
awal kanak-kanak juga tidak dilupakan bagi membantu keluarga yang kurang berada
untuk menghantar anak mereka mendapat pendidkan peringkat awal di peringkat
tadika apabila adanya peruntukan yang membolehkan Menteri pendidikan menubuhkan
dan menyenggara tadika selain mutu program pendidikan di semua tadika juga akan
dapat dipertingkatkan kerana tadika-tadika ini diwajibkan menggunakan Garis
Panduan Kurikulum Prasekolah yang dikeluarkan oleh Kementeian Pendidikan.
Dengan
pelaksanaan Akta Pendidikan ini, walaupun lebih berfokus untuk menyepadukan
kaum dan memupuk perpaduan, ia juga dilihat membawa kepada kesamarataan hak
bagi setiap lapisan masyarakat untuk mendapat peluang pendidikan yang
berkualiti. Berdasarkan apa yang dikupas berkaitan Akta Pendidikan di atas,
dapat dilihat secara jelas bahawa setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum
dan status sosial yang berbeza diberikan peluang yang sama untuk mendapat
peluang pendidikan untuk memajukan diri serta menjadi sumber kepada pembangunan
ekonomi Negara yang berkualiti.
Jika
dilihat berdasarkan dasar pendidikan dan akta pendidikan yang telah
dilaksanakan oleh kerajaan, proses transformasi pendidikan bukanlah sesuatu
yang baru. Sejak dari era selepas kemerdekaan lagi dasar-dasar pendidikan sering
berubah dari masa ke semasa atau mengalami proses transfomasi selaras dengan
perubahan zaman masa kini. Berbalik kepada tajuk artikel yang dinyatakan di
atas iaitu ‘Guru Jana Traansformasi Negara, jelas menunjukkan bahawa peranan
guru dan tanggungjawab guru itu sendiri sangat penting di dalam menjana
transformasi pendidikan negara. Di dalam konsep pendemokrasian pendidikan ini
juga, guru perlulah berdiri di barisan hadapan sebagai pemangkin kepada usaha
untuk menjadikan sistem pendidikan di Negara kita sama rata kepada semua
masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Terdapat
pelabagai isu dan cabaran di dalam usaha untuk memastikan pemdemokrasian
pendidikan ini dapat dilaksanakan dan dicapai secara total dan berkesan. Selain
melalui dasar-dasar kerajaan yang telah dilaksanakan dan melalui
reformasi-reformasi pendidikan yang telah terlaksana, beberapa pendekatan juga
telah diambil di dalam usaha untuk menjayakan dan memantapkan lagi
pendemokrasian pendidikan ini. ‘Pendidikan Untuk Semua’ dilihat sebagai suatu
pendekatan untuk memberi peluang pendidikan secara adil dan saksama dan sudah
tentu tertumpu kepada masyarakat di kawasan luar Bandar serta kawasan-kawasan
pedalaman Semenanjung serta Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan-kawasan
yang dilihat sebagai kawasan miskin di bandar-bandar. Melalui aspek pendekatan
Pendidikan Untuk Semua ini, pendemokrasian pendidikan memerlukan pengagihan
kewangan dan sumber secara adil dan saksama dengan memberi penumpuan kepada
kawasan-kawasan yang disebut tadi. Jelas di sini bahawa sistem pendidikan di
Malaysia tidak pernah menindas dan mengabaikan mana-mana golongan masyarakat
untuk mendapat peluang pendidikan yang berkualit. Seperti yang diketahui,
kerajaan telah menyediakan pendidikan percuma bagi meringankan beban golongan
yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di dalam
usaha pendemokrasian pendidikan ini, bantuan lain yang diberikan ialah seperti
menyediakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) bagi semua murid. Jika sebelum ini
hanya golongan yang kurang berkemampuan sahaja diberikan bantuan pinjaman buku
teks, tetapi pada hari ini setiap murid diberikan kemudahan yang sama kerana
kerajaan beranggapan bahawa setiap murid berhak unutk mendapat kemudahan yang
disediakan kerana pendidikan adalah untuk semua.
Pembinaan sekolah-sekolah berasrama
penuh juga dilihat salah satu usaha pendemokrasian pendidikan. Contohnya,
pembinaan sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Cheras yang
memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari golongan keluarga yang miskin di
luar Bandar yang berpotensi untuk mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.
Kuota kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh diberikan kepada pelajar
cemerlang yang berasal dari keluarga miskin bagi membela hak pelajar-pelajar
ini untuk terus mendapat peluang pendidikan yang berkualiti walaupun berasal
daripada keluarga yang miskin.
Di sinilah peranan guru dilihat
sangat penting untuk memberi semangat kepada murid-murid yang datang daripada golongan keluarga yang miskin
untuk terus menuntut ilmu dan tidak menjadikan isu kemiskinan itu sebagai
alasan untuk tidak meneruskan usaha mereka di dalam bidang pendidikan. Guru
juga seharusnya tidak bersifat memilih bulu iaitu kurang memberi tumpuan kepada
murid-murid yang datang dari golongan miskin dan hanya memberi perhatian kepada
murid-murid dari golongan atasan sahaja. Situasi sebegini akan menimbilkan rasa
rendah diri kepada murid-murid tersebut dan hilang keyakinan diri sekaligus
menyebabkan mereka tidak berminat untuk terus belajar.
Pada pendapat saya juga, di dalam
usaha menjana trasnformasi Negara, kebajikan orang asli juga harus tidak
dilupakan kerana murid-murid dari golongan ini juga mampu untuk menjadi pemacu
kepada pembangunan Negara. Kemajuan sistem pendidikan Negara kita harus lebih
progresif dan mengutamakan kebajikan orang asli. Mereka juga seharusnya
sama-sama merasai kesan transformasi sistem pendidikan Negara. Kemajuan di
dalam sistem pendidikan juga harus sama-sama dirasai oleh murid dalam kalangan
orang asli ini. Statistik awal tahun 2000 menunjukkan
masih terdapat sekolah di kawasan pedalaman, terpencil dan pulau yang tidak
mendapat kemudahan asas. Pada ketika itu, terdapat 20.6 peratus sekolah yang
tidak mempunyai talian telefon, 86.6 peratus tiak mempunyai mesin faks, 7.3
peratus tidak mendapat bekalan elektrik dan 24.78 peratus tidak menerima
bekalan air paip awam. Kekuarangan kemudahan insfrastrukutr sedikit sebanyak
akan membawa kepada kemerosotan ke atas prestasi pelajar. Hal ini tiada kaitan
dengan kecerdesan pelajar, tetapi lebih kepada corak hidup serta peluang yang
terhidang kepada mereka. Secara keseluruhannya, pencapaian Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah(UPSR) pada tahun 2000 jelas menunjukkan prestasi akademik
prestasi akademik murid luar bandar lebih rendah - dalam mata pelajaran Bahasa
melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Pencapaian murid bandar di atas
tahap penguasaan minimum (A,B,C) bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris adalah
67.5 peratus berbanding murid luar bandar iaitu iaitu 51.9 peratus. Pencapaian
yang sama ditunjukkan bagi mata pelajaran Matematik iaitu 80.5 peratus bagi
murid bandar berbanding 72.7 peratus bagi murid luar bandar. Begitu juga bagi
mata pelajaran Sains, pencapaian murid bandar ialah 81 peratus berbanding murid
luar bandar cuma 75.9 peratus.. Di sinilah dilihat sejauh mana pendemokrasian
pendidikan dapat dicapai dan tahap perubahan pendidikan masyarakat orang asli..
Jurang pendidikan di antara masyarakat orang asli dengan masyarakat Bandar
dilihat sangat jauh berdasarkan statisitik yang dinyatakan tadi. Namun begitu,
semakin lama jurang perbezaan di antara masyarakat orang asli dan masyarakat
Bandar dilihat semakin berkurang kerana pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan
bagi membantu meningkatkan tahap pendidikan orang asli pada hari ini.
Contohnya
melalui Pelan Trasnformasi Pendidikan Orang Ali yang telah dilancarkan oleh YAB
Tan Sri Dato’ Haji Muhiyiddin Yassin telah menggariskan tujuh inisiatif baru
bagi mengarusperdanakan masyarakat orang asli seiring dengan kemajuan yang
sedang dialami di Malaysia pada hari ini. Pertama, memantapkan pentadibiran
sekolah-sekolah yang mempunyai murid-murid dari kalangan orang asli bermula di
peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan
Kementerian di mana kualiti kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat akan
dipertingkatkan dengan memastikan segala isu dan pemasalahan yang dihadapi
anak-anak orang asli dapat diselesaikan segera. Kedua, memasukkan elemen
Pendidikan Vokasional di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah
harian yang menjadi tumpuan masyarakat orang asli dengan pelbagai kemahiran
sebagai persiapan sebelum memasuki alam pekerjaan. Dengan mewujudkan elemen
vokasional ini dilihat mampu membantu murid-murid yang kurang cemcerlang di
dalam pendidikan untuk meneruskan pengajian mereka ke arah bidang kemahiran.
Ini membantu murid-murid orang asli untuk meningkatkan potensi diri mereka
walaupun tidak cemerlang di dalam bidang akademik. Seterusnya ialah
mengurangkan kadar keciciran orang asli ke sekolah sebanyak enam peratus setiap
tahun mulai tahun 2013 dan bagi meningkatkan pencapaian prestasi
sekolah-sekolah yang menjadi tumpuan masyarakat orang asli, Kementerian
Pelajaran telah merangka program-program yang bersesuian seperti Kelas
Bimbingsn Khas, Program Peningkatan Kadar Literasi dan Numerasi (LINUS) dan
sebagainya. Selain itu, mempertingkatkan pengambilan pelajar-pelajar bagi
Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru
Kampus Tuanku Afzan, Kuala Lipis mengikut keperluan semasa. Sehubungan itu,
PISMP bagi orang asli akan dilaksanakan pada bulan Julai 2012 dengan
pengambilan permulaan seramai 25 orang pelajar. Akhir sekali ialah menambahbaik
kemudahan insfrastruktur dan prasarana pendidikan orang asli menerusi
penambahan sebanyak empat buah Sekolah Model Khas Komprehansif K9 di perak,
Selangor, Johor dan Pahang bermula tahun 2013. Kerajaan juga akan terus
meneliti keperluan pembinaan sekolah baru di kawasan-kawasan penempatan orang
asli yang mempunyai ramai penduduk. Seterusnya, sebanyak empat buah asrama
berpusat akan dinaiktaraf mulai tahun 2013 bagi kemudahan dan keselesaan
murid-murid orang asli selain usaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas
seperti pengangkutan bas dan kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan mereka
dapat menjalani pelbagai aktiviti persekolahan dengan lebih berkesan.
Berdasarkan
usaha-usaha yang dijalankan di atas, dapat kita lihat bahawa pendidikan orang
asli juga sedang mengalami proses transformasi atau pembaharuan. Mereka diberi
pelbagai bantuan dan intensif bagi memastikan kemajuan sistem pendidikan Negara
dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kawasan etnografi
atau taraf sosial. Guru-guru novis juga harus bersifat lebih terbuka dan
bersedia untuk menabur bakti mendidik murid-murid dari golongan orang asli ini
tanpa sebarang rasa paksaan. Keikhlasan seorang guru dalam mendidik anak bangsa
itu dapat dilihat berdasarkan cara dan bagaimana kaedah yang digunakan di dalam
kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Guru yang ikhlas
dalam mendidik akan berusaha menggunakan pelbagai kaedah yang menarik bagi
memastikan ilmu yang cuba disampaikan kepada murid dapat difahami dengan jelas tanpa
mengira status sosial atau kaum. Selain itu, penstrukturan semula pemberian
Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di kawasan
pedalaman Sabah dan Sarawak juga membuktikan bahawa bidang pendidikan,
guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan serta menjadi
agenda semasa kerajaan. Penstrukturan semula ini juga sedikit sebanyak dapat memberi
semangat baru kepada guru-guru di kawasan pedalaman untuk terus memberi
berkhidmat dengan lebih berdedikasi.
Sasaran kerja
Utama Pendidikan Malaysia telah melatakkan isu pendemokrasian pendidikan
sebagai prioriti utama di dalam usaha untuk memantapkan Pelan Tindakan Sasaran
1996 di semua peringakat pengoperasian
iaitu di keseluruhan peringkat organisasi pendidikan, kementerian,
jabatan-jabatan pendidikan, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah.
Jelas menunjiukkan di sini bahawa pendemokrasian pendidikan adalah
tanggungjawab bersama dan menjadi keutamaan kepada pelaksana pendidikan untuk
memastikan pendemokrasian pendidikan ini dapat dicapai sepenuhnya.
Jika dilihat
secara meluas, dapat saya simpulkan bahawa pendemokrasian pendidikan sangat
penting di dalam usaha untuk menjana transformasi pendidikan. Pendemokrasian
pendidikan ini membawa kepentingan
kepada pelbagai lapisan masyarakat kerana melalui pendemokrasian pendidikan
ini, setiap lapisan masyarakat mempunyai hak untuk mendapat peluang pendidikan
yang sama rata. Setiap lapisan masyarakat berpeluang untuk meningkatkan taraf
pendidikan mereka kerana pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi
membantu meningkatkan kualiti dan peluang pendidikan pada hari ini. Dari segi
masyarakat, isu pendemokrasian ini sangat penting kepada mereka kerana mereka
lebih berpeluang untuk mengetahui peluang-peluang pendidikan yang disediakan
seklaigus menimbulkan minat mereka terhadapt pendidikan anak-anak mereka.
Masyarakat umumlah yang menjadi penyumbang terhadap maklum balas kepada sistem
pendidikan pada masa kini.
Selain itu,
bagi kalangan pelaksana pendidikan iaitu guru-guru pula, perlualah berperanan
dengan lebih meluas lagi dalam usaha untuk menjana transformasi pendidikan
kerana gurulah yang menjadi tunjang utama serta penggerak utama dalam menjana
transformasi pendidikan Negara kerana guru dilihat sebagai agen perubahan utama
selain berfungsi sebagai penyampai ilmu, jentera sosial, penyubur perpaduan
serta pembangun sahsiah modal insan. Guru juga perlu memahami dengan lebih
mendalam tentang isu atau konsep pendemokrasian pendidikan kerana golongan guru
lah yang beritndak dari akar umbi untuk memebri peluang pendidikan yang sama
rata kepada setiap murid tanpa mengira latar belakang. Walaupun guru-guru
terpaksa ditugaskan di kawasan pedalaman contohnya, mereka seharunya bersikap
positif dan sanggup menyampaikan ilmu secara adil kepada setiap murid di kawasan
tersebut tanpa mengira satus sosial serta latar belakang murid tersebut.
pengongsian yang sangat baik.terima kasih kerana sudi mengongsi...
ReplyDelete